Spread the salaam

Wednesday, March 23, 2011

“Untuk melihat kecantikan Lela, seseorang memerlukan mata Majnun”.

Dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia, sebelum tiba pada kenyataan tentang sikap Majnun, Anwar menurunkan 8 baris sajak TS Eliot. Eliot ialah penyair yang sering memaparkan segi-segi agama dan moral dalam kehidupan, dan beliau juga ialah pengkritik sastera yang memilih pendekatan moral.
Petikan yang diturunkan Anwar menyatakan, dalam zaman ini maklumat telah diagungkan melebihi ilmu. Agaknya, inilah yang dikatakan Zaman Gila (Jaman Edan) oleh Dr Siddiq Fadhil berkali-kali, dalam ceramahnya.

Saya kira, dalam melihat atau meninjau sikap politik seluruh rakyat, konsep ‘mata’ yang dikemukakan Majnun kepada ayahandanya adalah baik. Rakyat atau warga negara perlu dilatih atau perlu berlatih menjaga mata, dan menggunakan mata dengan baik untuk memilih parti dan wakil rakyat. 

Pertelingkahan politik seperti yang kita perhatikan kini amat sia-sia. Seseorang akan mengata-ngata terhadap pihak lawan, seolah-olah benarlah pihak lawan berlaku serong, tetapi pada masa sama yang dikatakan serong itu dilakukan juga oleh pihaknya. 

Jika kita membaca buku Anwar yang saya maksudkan di atas, kita mendapati keseluruhan isinya tidak menyinggung kerajaan Barisan Nasional. Beliau berbicara tentang kebangkitan Asia secara menyeluruh, dan sikap ilmiahnya itu menyebabkan buku tersebut bernilai tinggi. Bagi membuktikannya, marilah kita lihat tanggapan Anwar terhadap puisi Eliot. (Halaman 38). Karya Eliot berjudul “Choruses from The Rock”. Eliot meratap kerana beliau mendapati “ilmu membawa kita makin hampir pada kejahilan”.

Kata-kata itu merupakan ironi yang hebat. Dahi kita berkerut-kerut memikirkan ilmu yang disalahgunakan, hingga manusia menghampiri kejahilan. Mengapakah terjadi hal demikian?
Eliot mengatakan, punca peristiwa dahsyat itu ialah kerana kekuatan maklumat, iaitu maklumat berjaya menenggelamkan ilmu. Eliot bertanya: Di manakah ilmu yang tenggelam dalam maklumat? Adakah benar ilmu yang dikalahkan maklumat itu menjadi punca kejahilan? 

Anwar mengatakan: Maklumat hari ini begitu diagungkan sehingga mengatasi ilmu, sebaliknya ledakan maklumat belum tentu membawa kepada kefahaman lebih mendalam. Anwar berpendapat, kandungan sajak Eliot amat sesuai dengan pembaca hari ini, berbanding pembaca zaman Eliot sendiri. Ertinya, Eliot mendahului zaman.

Memang betul pandangan Anwar, kini maklumat meledak secara tidak terkawal. Aneka tuduhan dikenakan kepada ahli-ahli politik, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Khalayak media massa kini menerima aneka berita: Berita kecil telah diperbesar, berita besar pula diperkecil, sehingga sebahagian kita terperangkap dalam berita dan propaganda yang menghanyutkan. Lapangan politik kian bersifat masak karbat, iaitu kian bergantung kepada perkara-perkara yang tidak perlu dibangkitkan. Perkara rahsia cepat tersebar, hingga tiada sesiapa lagi yang berasa selesa.